Aaron Ramsey jadi sasaran Manchester United dan Liverpool, mampukah Huss Fahmy cipta keajaiban?

Lebih kurang tinggal dua bulan sahaja lagi untuk kita mengetahui masa depan Ramsey sama ada beliau terus kekal bersama Arsenal ataupun dilepaskan pada jendela perpindahan Januari nanti.


Dengan kontrak beliau bakal berakhir pada Jun 2019, sudah tentu Arsenal tidak mahu kehilangan pemain ini secara percuma, lebih-lebih lagi rundingan pembaharuan kontrak diantara pemain tersebut dan pengurusan kelab dilaporkan telah pun dihentikan.


Situasi tersebut jelas menggambarkan bahawa pemain tersebut kemungkinan bakal meninggalkan kelab menjelang jendela perpindahan Januari ini melainkan Huss Fahmy yang mengendalikan rundingan kontrak pemain di kelab mencipta 'kejutan'.

Fahmy sebelum ini, dilihat begitu tegas dalam rundingan kontrak ataupun dalam menyediakan pembaharuan kontrak untuk Jack Wilshere, yang menyaksikan beliau menolak untuk memperbaiki tawaran yang telah dibuat kepada bekas pemain Arsenal itu (mengurangkan gaji pokok) dan beliau sekali lagi bertegas dalam isu pembaharuan kontrak Ramsey.


Dalam perkembangan terkini mengenai Aaron Ramsey, beliau dilaporkan menjadi subjek perpindahan diantara dua kelab Inggeris iaitu Liverpool dan Manchester United yang dikatakan bersedia bersaing untuk mendapatkan tandatangan pemain itu, menurut laporan.



Liverpool telah dikaitkan dengan Ramsey dan pemain tersebut dikatakan bakal mengikuti jejak langkah bekas rakan sepasukan yang juga merupakan bekas pemain Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain ke Anfield.

Namun menurut Evening Standard, Manchester United juga dilaporkan berminat untuk menandatangani Ramsey dengan pemain itu dikatakan tidak bersedia untuk berpindah ke luar dari UK.

Arsenal sebelum ini berharap dapat mengikat Ramsey dengan perjanjian baru namun agensi yang mewakili pemain tersebut mengesahkan bahawa Ramsey akan meninggalkan kelab setelah rundingan pembaharuan kontrak menemui kegagalan.

Avid Sports & Entertainment Group membuat pendedahan di media sosial namun tweet tersebut telah pun dipadamkan dengan mengatakan bahawa Ramsey tidak mempunyai masa depan bersama Arsenal.

"Tidak ada yang boleh kita lakukan ... kelab membuat keputusan."

"Dia tidak mahu pergi, tetapi sekarang tidak ada pilihan lain."








Ramsey bangkit dari bangku simpanan dalam kemenangan 5-1 Arsenal keatas Fulham pada minggu lalu dan Emery menegaskan bahawa khidmat Ramsey masih diperlukan selain menganggap pemain tersebut adalah penting buat skuad kendalian beliau.


Post a Comment

Previous Post Next Post