Menjelang penutupan jendela perpindahan Januari, pertahanan muda Sepanyol, Ivan Fresneda telah menjadi topik hangat ketika ini dengan perpindahan ke Arsenal.
Pengarah Sukan Real Valladolid, Fran Sanchez mengakui bahawa mereka bersedia dan akan menyambut sebarang tawaran baik (yang setimpal), yang sepatutnya tiba untuk pemain pertahanan mereka. itu
Sanchez juga menyatakan kesudian beliau dan Valladolid untuk mencari penyelesaian terbaik kepada semua pihak.
Selepas berjaya menandatangani Jakub Kiwior dan Lenadro Trossard, usaha The Gunners untuk memperkukuhkan skuad diteruskan dengan cubaan membawa seorang lagi pemain pertahanan, Ivan Fresneda.
Fresneda telah dikaitkan dengan perpindahan ke Utara London sepanjang minggu lalu dengan kelab Sepanyol itu dilaporkan telah bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan oleh Arsenal dan juga Borussia Dortmund.
Pemain muda itu antara mereka yang mendapat penilaian tertinggi di Sepanyol, selepas mempamerkan aksi cemerlang sejak membuat penampilan sulung untuk Valladolid.
Maka tidak hairanlah apabila beberapa kelab di Eropah, khususnya dari Liga Perdana Inggeris, dianggap berminat untuk mendapatkan tandatangannya.
Arsenal telah melonjakkan diri mereka ke barisan hadapan bulan ini, dengan beberapa laporan di Sepanyol dan England menyatakan bahawa mereka berminat untuk membuat perjanjian.
Itu memerlukan Arsenal menyelesaikan urusan terlebih dahulu bersama Valladolid sebelum pemain tersebut, tetapi Pengarah Sukan mereka telah mengakui mereka lebih terbuka untuk berunding dengan Arsenal jika harga yang sesuai ditawarkan.
"Tiga atau empat pemain dalam pasukan berada dalam kedudukan untuk pergi, tetapi masing-masing mempunyai situasi kontrak berbeza yang mesti dihormati dan kami sedang mencari yang terbaik untuk semua pihak,” lapor El Norte de Castilla.
"Kami bekerjasama dengan wakil mereka dan dengan kelab yang telah menghubungi kami, dan saya fikir dalam beberapa hari akan datang, keadaan mereka akan diselesaikan.
"Jika ada tawaran bagus untuk kelab dan ia membuatkan kami berkembang, dengan faedah dapat meneruskan kelangsungan kelab (kami akan terima).
"Jika ada tawaran bagus untuk kelab, dan ia membuatkan kami berkembang dengan faedah untuk dapat membawa masuk pemain lain, menambah baik kemudahan dan membenarkan kelab berkembang, (ia) dialu-alukan.
"Ia membuatkan kami berasa bangga bahawa Real Valladolid sangat dipercayai kerana mempunyai pemain yang datang dari akademi remaja kami."
Berbaki lebih kurang lima hari sahaja lagi untuk jendela perpindahan Januari ditutup, Arsenal masih kuat dikaitkan dengan beberapa pemain untuk memperkuatkan skuad kendalian Mikel Arteta.
Kemasukkan Trossard dan Kiwior telah menelan belanja secara keseluruhan sebanyak £48 juta, tetapi Arteta mungkin tidak akan selesai di sana.
Bercakap kepada media pada hari Rabu, pengurus The Gunners itu menjelaskan bahawa Kiwior memberi sandaran yang amat diperlukan, selepas kekurangan pemain pertahanan tengah pada separuh pertama musim ini.
Dan Arteta mencadangkan jika terdapat peluang terbuka pada hari-hari terakhir jendela perpindahan, Arsenal tidak akan melepaskan peluang untuk mengukuhkan lagi pasukan.
"Jadi, [Kiwior] memberikan kami lebih banyak sandaran." jelas Arteta.
"Jelas sekali, kami mempunyai tiga pertahanan tengah pada pusingan pertama musim ini, yang sangat, sangat kurang (sandaran).
"Kami bernasib baik dengan kecederaan, jadi kami perlu merekrut pada bahagian itu.
"Kami telah melakukannya.
"Jakub boleh bermain dalam peranan berbeza dan merupakan pemain serba boleh dan akan memperkuatkan pasukan.
"Jika ada apa-apa lagi yang boleh menjadikan kami lebih baik, kami akan melihatnya."
Selain Fresneda, Arsenal turut dikaitkan dengan perpindahan pemain pertahanan Real Sociedad, Martin Zubimendi.
Menurut laporan Daily Mail, Arsenal mencapai persetujuan dengan Sociedad untuk membayar klausa pelepasan berjumlah £52.5 juta tetapi pemain itu tidak mahu meninggalkan pasukan kampung halamannya pada pertengahan musim.
Itu menyebabkan perjanjian itu lebih berkemungkinan berlaku pada penghujung kempen ini.